Sunday, 19 May 2013

Sistem Tulisan Abada Kadazandusun

Contoh Tulisan Abada Kadazandusun Dengan Tangan

Pada pos yang lepas, diterangkan serba sedikit mengenai sejarah tulisan abada serta penciptanya. Juga contoh-contoh karangan dalam tulisan tangan. Para pembaca sudah pun maklum tentang perkara tersebut barangkali. Cuma sahaja perlu melakukan sedikit hafalan dan belajar cara menulis huruf (pimato). Kita amat berterima kasih terhadap Dr. Mohd Zakaria Ilyas kerana usaha dan keringatnya tercipta tulisan ini dengan jayanya. Usaha ini sepatutnya dihargai oleh semua khususnya komuniti KDM di Sabah. Malahan seharusnya diwar-warkan kepada persatuan, pertubuhan, perbadanan di bawah naungan kebudayaan dan persatuan Kadazandusun atau di bawah nama Dusun dan Kadazan agar satu inisiatif dan desakan perlu diambil bagi membincangkan perkara ini secara menyeluruh. 

Harapan bahawa keputusan berpihak kepada gagarit ini di mana akan disokong sepenuhnya supaya di hak milik dan digunakan oleh semua  tidak kira dalam apa juga bidang termasuklah dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sosial serta diperluaskan penulisannya  dari tulisan bersembang dalam alam maya (internet) kepada buku-buku ilmiah, journal, majalah, makalah, papan tanda jalan, dan nama domain kedai-kedai perniagaan milik kaum Kadazan dan Dusun juga harapan menggunung agar tulisan ini  diajar di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Percayalah bahawa dengan persetujuan semua pihak dengan menjadikan gagarit abada sebagai tulisan rasmi dalam bahasa Kadazandusun maka wujud satu situasi di mana keilmuan dari tulisan ini akan berkembang yakni banyak buku-buku ditulis oleh para pengkaji berkait dengan ilmu bahasa Kadazandusun yang masih diperhalusi, diperkaya dan dilaksanakan secara konsisten dan komprehensif . 

Pembelajaran dan pengajaran bahasa Kadazandusun telah pun bermula dari tahun 1997 dan kini pengajaran dan pembelajaran bahasa ini telah pun menjangkau 16 tahun semasa blog ini ditulis. Ini bermakna jika seorang insan yang telah berusia 16 tahun makanya dia telah diketegorikan sebagai alam remaja dan sudah dikira matang dan mampu berfikir hal-hal yang rumit jika dia adalah seorang yang bijak dan pintar. Oleh itu dalam tempoh 16 tahun pelaksanaan pengajaran bahasa Kadazandusun  di sekolah dengan tulisan pinjaman daripada tulisan rumi (Roman alphabet). Banyak kemajuan dan perkembangan yang telah dicapai dalam tempoh tersebut. Malah para pengkaji bahasa juga telah mencipta bagaimana sistem bunyi, ejaan yang betul, dan sebutan betul berlandaskan kepada tulisan rumi. Misalnya di mana perlunya perletakan koma, titik dan bagaimana hendak mengetahui perbezaan sebutan dalam tulisan yang mempunyai makna berbeza  dalam petikan. 

Saya tidak skeptical tentang penggunaan tulisan tersebut malah menerimanya dengan hati terbuka. Ini kerana bukan komuniti kita sahaja menggunakan tulisan tersebut malah kaum Cina yang bangga terhadap tulisan Cina mereka masih mempelajari tulisan rumi bila mana mempelajari bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Begitu jugalah dengan kaum India di negara ini malahan sistem tulisan di sekolah-sekolah kebangsaan yakni tulisan berbahasa Melayu sepenuhnya telah menggunakan tulisan rumi mengantikan tulisan jawi yang telah digunakan berabad-abad lamanya.

Menurut Jagianto (2005: 2) bahasa sistem bermaksud kumpulan dari elemen-elemen yang berinteraksi untuk mencapai suatu tujuan tertentu. sistem ini menggambarkan suatu kejadian-kejadian dan kesatuan yang nyata adalah suatu objek nyata, seperti tempat, benda, dan orang-orang yang betul-betul ada dan terjadi. Manakala menurut Murdick, R.G, (1991 : 27) Suatu sistem adalah seperangkat elemen yang membentuk kumpulan atau procedure-prosedure/bagan-bagan pengolahan yang mencari suatu tujuan bagian atau tujuan bersama dengan mengoperasikan data dan/atau barang pada waktu rujukan tertentu untuk menghasilkan informasi dan/atau energi dan/atau barang. Oleh yang demikian, sistem bermaksud kumpulan dari beberapa bahagian yang memiliki keterkaitan dan saling bekerja sama serta membentuk suatu kesatuan untuk mencapai suatu tujuan dari sistem tersebut. maksud dari suatu sistem adalah untuk mencapai suatu tujuan dan sasaran dalam ruang lingkup yang sempit.
Sistem bahasa Kadazandusun pula bermaksud melihat keterkaitan penggunaan cara dan susun atur data tulisan yang harmoni dan menghasilkan informasi yang matang, telus dan akurat. Konsisten dalam tulisan yang diguna pakai serta mampu berdiri dengan sendiri. Ia khususnya melibatkan penulisan yang digunakan seharian. Dalam pos ini dibincangkan cadangan-cadangan yang baik tertumpu kepada sistem tulisan bahasa kadazabdusun bagi gambaran awal kepada para pembaca sekalian yakni bagaimana pola tulisan, ejaan yang betul, perlukah meminjam simbol-simbol seperti tanda baca, kata seru, koma dan sebagainya dalam pemantapan kepada tulisan itu. 

Seperti bahasa-bahasa dunia yang telah sedia wujud dan sistem tulisannya telah pun maju dan konsisten penggunaannya maka dengan terciptanya gagarit abada ini maka seharusnya difikirkan cara bahasa itu disistemkan sehingga penggunaannya sama pada semua pengguna. Berikut adalah cadangan yang difikirkan sesuai untuk sistem tulisan di dalam berbahasa kadazandusun.

1. Huruf Besar dan huruf kecil. (Capital Letter)

Seperti pembelajaran bahasa Kadazandusun piawai di sekolah, kita akan diajar penggunaan cara ini di mana apabila kata nama khas wajib meletakkan huruf besar manakala kata nama am pula cukup sekadar huruf kecil kerana dikatakan ianya bukan khas tetapi umum sahaja. Persoalan yang bermain di fikiran penulis, mengapakah adanya sistem sedemikian dalam penulisan atau terfikir juga apakah peranan adanya sistem atau cara sedemikian dalam penulisan? mana-mana tulisan yang menggunakan tulisan rumi tidak kiralah di negara-negara Asia, Eropah, Afrika dan Amerika Latin menggunakan cara ini dalam penulisan? Bolehkah cara tersebut tidak dilaksanakan?. Sebenarnya jawapan kepada persoalan itu hendaklah melihat kepada sistem tulisan itu sendiri. Itulah sistem yang diguna dan diyakini oleh para pakar bahasa seluruh dunia. Bagaimana pula dengan tulisan lain selain tulisan rumi? contohnya tulisan Cina, Hebrew, Arab, Thai dan sebagainya (sekadar menyebut beberapa nama tulisan). 

Saya percaya pembaca sekalian mempunyai jawapan sendiri terhadap persoalan ini, lebih-lebih lagi para pembaca dari kelompok pakar linguistik. Pendapat saya terhadap penggunaan huruf besar dan kecil ini menunjukkan perbezaan bagi sesuatu yang ditulis itu agar pembaca itu memahami apa yang dibacanya tanpa keliru antara dua aspek. Lagipun tulisan rumi mempunyai dua tulisan yang berbeza iaitu tulisan huruf besar (A, B, C, D...) dan tulisan rumi huruf kecil (a, b, c, d...) maka ia memudahkan melestarikan penggunaan huruf besar dan kecil di dalam penulisan. 

Berbalik kepada bahasa Kadazandusun, jika tulisan abada digunakan maka penggunaan huruf besar dan huruf kecil tidaklah diperlukan. Ini kerana alasannya ialah tulisan abada tersebut hanya mempunyai satu tulisan sahaja dan sistem tidak berapa sesuai jika mengaplikasikan penggunaan huruf besar dan kecil dalam tulisan. Kita boleh mengaplikasikan sistem yang digunapakai oleh tulisan-tulisan dari rumpun Semetik contohnya Arab, Hebrew, dan tulisan dari Asia contohnya bahasa Mandarin, Korea dan Jepun. Penulisan mereka tidak ada huruf besar dan kecil bagi membezakan kata nama khas atau am. Ianya harus ditulis sama rata tanpa besar di depan atau seumpamanya. 

2. Peminjaman simbol-simbol

Terdapat dua pilihan dalam perkara ini, pertama bagi memantapkan cara penulisan dalam tulisan Kadazandusun maka bolehlah meminjam simbol seperti titik (full stops), koma (commas), Tanda tanya (question marks) dan sebagainya dari tulisan rumi yang telah lama digunakan. Hanya sahaja diselarikan dalam penulisan tulisan abada. Ianya mudah kerana setiap simbol itu mempunyai peranan dalam tulisan dan semestinya setiap orang mengetahui cara penggunaannya kerana hal ini diajar di sekolah khususnya bahasa Melayu dan Inggeris. Pilihan kedua pula, mencipta sendiri simbol tersebut dan digunapakai dalam penulisan. Namun kaedah kedua ini mungkin mengalami masalah dan sudah tentu mengambil masa untuk menyesuaikan kepada kelompok masyarakat kerana sudah terbiasa dengan simbol yang digunapakai kini. 

3. Tulisan abada ditulis dari kiri ke kanan.

Bukan seperti bahasa Arab dan Hebrew di mana tulisan itu bermula dari kanan ke kiri, sesiapa yang pernah mempelajari tulisan tersebut sudah tentu mengetahui sistem menulisnya yang terbalik (berdasarkan pandangan orang yang telah terbiasa dengan tulisan rumi). Oleh kerana tidak ada sejarah Dusun dan kadazan tentang penulisan ini lebih-lebih lagi sistem sebelah mana memulakan untuk menulis maka alternatifnya bolehlah meminjam cara tulisan dalam tulisan-tulisan yang sudah sedia ada yakni meminjam pergerakan tulisan dari kiri ke kanan oleh tulisan Rumi dan seumpamanya. Atau ada sahabat-sahabat kita yang mahu agar tulisan abada ini ditulis dari kanan ke kiri kerana terbiasa dengan tulisan Arab atau Hebrew? atau pun mahu menulis tulisan abada dari atas ke bawah seperti yang dilakukan terhadap cara penulisan Cina dan Jepun era maharaja? atau ketiga-tiga sekali boleh digunakan mengikut situasi. Bagi pendapat penulis akan penyokong pendapat pertama iaitu ditulis dari kiri ke kanan. 

Entry ini tidak bermaksud pemaksaan atau di kira betul kerana tulisan abada ini belum di gazetkan lagi dan belum ramai KDM yang mengetahuinya. Oleh itu saranan dan cadangan ini masih dalam perbincangan serta banyak lagi perkara yang diperhalusi dan diketengahkan. Harapan penglibatan saudara yang berminat terhadap gagarit ini menyemarakkan lagi perbincangan dan pendapat yang akhirnya membawa kepada satu keputusan yang memihak kepada tulisan ini.

Gagarit Abada do Kadazandusun

1 comment:

  1. hi ilmu yang sangat berguna. Perlu diketengahkan kepada masyarakat terutama dalam bidang pendidikan. memperkenalkan secara perlahan-lahan dan bertahap dalam sistem pendidikan bahasa kadazandusun di sekolah-sekolah.

    013-6396855

    ReplyDelete